Wednesday, April 22, 2009

Nilai Hartanah Dijangka Susut 20 Peratus

Pagi ini saya terbaca artikel ini yang dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia, kononya harga hartanah akan turun 20% pada tahun ini.

Apa yang saya pelik, menurut pengamatan saya harga rumah di sekitar lembah Klang masih sama mahal.

Pada pandangan saya pihak pemaju masih berupaya untuk mengekalkan harga jualan mengikut harga tanah semasa, adapun kalau ada hartanah yang murah lokasinya terletak nun jauh di pinggir Lembah Klang dan di ceruk-ceruk kawasan kampung.

Kita boleh tunggu, tetapi berapa lama kita boleh tunggu kerana semakin lama kita tunggu kekuatan ekonomi kita semakin terhakis kerana faktor-faktor inflasi akan mempengaruhi pasaran sehingga menyebabkan harga bahan binaan rumah semakin mahal.

Berikut merupakan pertikan daripada akhbar utusan malaysia:

KUALA LUMPUR 21 April - Pasaran hartanah tempatan dijangka mengalami penurunan nilai sekitar 10 hingga 20 peratus untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini ekoran aktiviti pembetulan harga dan sewa serta aktiviti pembinaan yang perlahan.

Berdasarkan kepada laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai berikutan pergerakan perlahan dalam program pemulihan ekonomi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdullah Thalith Md. Thani berkata, berdasarkan petunjuk itu, pihaknya turut menjangkakan harga hartanah dan nilai sewaan turut terjejas pada tahun ini.

"Walaupun kerajaan mengumumkan pakej rangsangan baru-baru ini tetapi pasaran hartanah kediaman dilihat positif tetapi perlahan pada tahun ini berdasarkan beberapa pengukuran yang telah dibuat.

"Namun pada suku keempat tahun ini, harga hartanah dijangka meningkat semula selepas menerima kesan dari pakej rangsangan serta beberapa perubahan dalam sektor domestik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran laporan pasaran harta 2008 Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di sini hari ini yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung.

Dalam laporan yang dikeluarkan itu, pasaran hartanah berkembang pada suku pertama 2008 tetapi mula menguncup pada suku ketiga tahun berikutan krisis ekonomi.

Dalam tempoh itu juga, pasaran hartanah merekodkan penurunan bilangan jualan unit perumahan baru serta peningkatan bilangan dan nilai yang siap dibina tetapi tidak dapat dijual.

Bagi tempoh 12 bulan itu, pasaran hartanah merekodkan 340,240 pindah milik bernilai RM88.34 billion, peningkatan 9.9 peratus berbanding tahun 2007.

Subsektor harta kediaman kekal sebagai subsektor paling dominan membentuk 63.7 peratus daripada jumlah bilangan dan 46.8 peratus daripada jumlah nilai pindah milik.

Harta pertanian berada di tempat kedua dengan 20.3 peratus, daripada jumlah pindah milik diikuti harta komersial (9.3 peratus), tanah pembangunan (4.3 peratus) dan harta industri (2.4 peratus).

Menurut Abdullah Thalith, pada tahun lalu pasaran hartanah tidak mencapai sasaran sebagaimana yang diharapkan berikutan hanya 21,725 buah rumah telah dibeli berbanding 48,830 yang disediakan.

"Masih terdapat rumah yang siap dibina tetapi tidak dibeli dan jumlah itu meningkat sehingga 9.1 peratus iaitu 23,866 pada tahun 2007 kepada 26,029 buah rumah," katanya.


No comments:

Post a Comment