Wednesday, November 11, 2009

Peguam Lesap Dengan Wang Pelanggan

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Impian seorang wanita untuk mendapatkan baki wang hasil menjual rumahnya di Seremban Jaya, Negeri Sembilan, berkecai apabila peguam yang dilantik untuk membantu urusan itu melarikan wang tersebut.

Mangsa, V. Santhey, 40, yang merupakan seorang peminjam wang berlesen mendakwa dia diperkenalkan oleh bapa saudara kepada peguam itu bagi mendapatkan perkhidmatannya.

Berasaskan hubungan baik dalam perniagaan dengan bapa saudara suspek, dia kemudian bersetuju melantik firma guaman peguam terbabit sebagai saksi kepada proses jual beli tersebut.

Katanya, apabila baki wang tersebut diluluskan oleh sebuah bank tempatan, Santhey pergi ke pejabat bank terbabit untuk mengambil cek berkenaan.

Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati cek itu dinamakan atas nama firma guaman terbabit. Mangsa kemudiannya mengarahkan pihak bank untuk mengubah kepada namanya.

''Apabila selesai proses tukar nama dan melihat sendiri cek itu ditulis atas nama saya, saya berasa percaya dan puas hati.

''Pihak bank turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar cek tersebut ke firma guaman suspek dan mengarahkan saya merujuk kepada firma tersebut,'' katanya ketika ditemui di Wisma MCA di Jalan Ampang di sini hari ini.

Tambah Santhey, suspek ada memberitahu mangsa supaya tidak bimbang dan cek itu akan dimasukkan ke akaunnya dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, katanya, janji hanya tinggal janji apabila peguam berkenaan menghilang sejak 2007 tanpa memasukkan wang baki jualan rumah berjumlah RM100,700.

Difahamkan, bank tempatan itu telah mengakui kesilapan pihaknya dalam proses tunai cek yang dilakukan oleh suspek yang turut dipercayai melakukan aktiviti penipuan hingga jutaan ringgit.

Menurut Santhey, dia kemudiannya mengadu perkara itu kepada Majlis Peguam yang telah membatalkan lesen guaman suspek pada Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan meminta penjelasan daripada pihak bank ekoran kejadian itu.

Jelasnya, sepanjang tahun ini, sebanyak tiga kes melibatkan penipuan di kalangan peguam dilaporkan kepada pihaknya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment