Friday, January 30, 2009

Durian Runtuh - Menyewa Rumah atau Memajukan Tanah

Sekiranya anda mempunyai wang tunai RM100,000 apa anda akan buat? (hati anda mungkin akan berkata Eshhhhh...mana nak kumpul RM100,000 tunai dengan sekelip mata)

Tetapi untuk tujuan artikel ini cuba bayangkan anda mempunyai wang tunai RM100,000 dan anda berbelah bagi sama ada nak beli rumah untuk disewakan kemudian atau membeli tanah dan dimajukan untuk dijual kepada developer?

Saya ada terbaca satu artikel di Internet yang mengatakan memajukan tanah adalah jauh lebih untung berbanding membeli rumah untuk disewakan.

Ini adalah kerana tanah yang dimajukan akan mendatangkan durian runtuh dengan sekelip mata berbanding kutipan sewaan rumah secara bulanan.

Mungkin apa yang dimaksudkan dengan memajukan tanah adalah memecahkan tanah tersebut kepada lot-lot tanah dan jual kepada pemaju untuk dijadikan kawasan perumahan.

Menurut artikel tersebut juga memajukan tanah tidak berisiko seperti menyewakan rumah (mungkin penyewa lari tanpa bayar sewa dan lain-lain).

Kesimpulannya adalah tidak kira apa jenis pelaburan yang kita buat semua berisiko, tak ada satu perniagaan di dunia ini yang dijalankan tanpa risiko (Zero Risk). Apa yang membezakan orang berjaya dan kurang berjaya adalah keupayaan untuk menganalisa serta meminimumkan risiko.



Cinta Pandang Pertama

1. Apakah cinta pandang pertama anda?

2. Isteri tercinta, anak yang dikasihi, kereta mewah atau sebuah mahligai idaman.

3. Tak kisah apa jua cinta pandang pertama anda, yang pasti bila dah jatuh cinta kenalah mula menggorak langkah untuk mendapatkan apa yang dicintai.

4. Di dalam bidang hartanah kadang-kadang cinta pandang pertama boleh mengundang kepayahan daripada kesenangan.

5. Banyak aspek yang perlu diteliti dan dikaji sebelum membuat sesuatu keputusan untuk membeli sesebuah rumah.

6. Cinta pandang pertama tidak cukup untuk memastikan yang pelaburan yang akan dibuat akan mendatangkan keuntungan.

7. Manusia memang tidak boleh lari daripada melihat sesuatu benda yang cantik apatah lagi menawan.

8. Kesimpulanya jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis salesman yang menjual rumah ataupun kecantikan reka bentuk bangunan ataupun kedamaian persekitaran sesebuah rumah.

9. Salesman memang telah dilatih untuk menarik perhatian anda dan menjual.

10. Sebelum membeli rumah cuba ingatkan kembali nostalgia kisah percintaan anda

11. Adakah anda menerima bulat-bulat kata-kata manis pasangan anda sebelum berkahwin ataupun anda mendengar gerak hati diri anda sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dengan pasangan anda.

12. Kesimpulanya dengar gerak hati anda tanpa dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mempengaruhi anda untuk membuat keputusan yang tergesa-gesa.

Hartanah Shah Alam - Apartment Bukit Subang



Hari ini jalan-jalan cari rumah akan memfokuskan prospek rumah jenis apartment di Bukit Subang, Shah Alam.

Bagi mereka yang tidak mengenali kawasan ini, anda boleh tiba di destinasi tersebut dengan menggunakan Lebuh Raya Koridor Guthrie dan exit menggunakan tol Bukit Jelutong.

Kembali kepada prospek hartanah di kawasan Bukit Subang.

Untuk makluman bagi penjualan sub sell unit di atas harga yang ditawarkan adalah RM110,000. Seperti mana yang saya pernah maklumkan sebelum ini, kebiasaannya kadar pulangan maksimum bagi rumah sewa jenis apartment adalah sekitar RM500.00.

Dengan pulangan sebanyak RM500.00 saya rasa masih tidak memadai untuk menampung kos bayaran balik kepada pihak bank.

Dengan harga jualan RM110,000 saya rasa adalah lebih baik sekiranya pelaburan dibuat kawasan-kawasan yang berkepadatan tinggi dan dipacu dengan pelbagai aktiviti bisnes seperti di Bandar Baru Bangi, Puchong, Bandar Tun Razak KL dan lain-lain.

Kesimpulanya kawasan Bukit Subang ini masih terlalu muda dan memerlukan sekurang-kurangnya satu bandar satelit untuk memacu pembangunan dan aktiviti-aktiviti komersial di kawasan sekitarnya. Pembelian sesebuah rumah memerlukan total package.

Thursday, January 29, 2009

Hartanah Shah Alam - Apartment Lily Puncak Alam




Salam sejahtera,

Saya masih agak asing dengan kawasan Puncak Alam, daripada analisa saya kawasan ini agak jauh dan adalah lebih hampir dengan pekan Rawang daripada Shah Alam.

Modal "sales" bagi rumah di kawasan ini adalah ianya berhampiran kampus UITM2.

Bagi saya, nilai pelaburan sesebuah rumah tidak boleh hanya disandarkan kepada lokasi berhampiran kampus universiti tetapi perlu mengambil kira beberapa faktor lain seperti kemudahan prasarana, jalan-jalan utama, sekolah dan lain-lain.

Pembelian sesebuah rumah memerlukan total package.

Kesimpulannya pada harga RM105,000 bagi penjualan sub sales di Puncak Alam bagi sesebuah apartment masih dikira terlalu tinggi kerana pulangan daripada rumah sewa bagi apartment kebiasanya adalah sekitar RM500.00 dan tidak memadai untuk membayar balik ansuran bulanan kepada pihak bank.



Wednesday, January 28, 2009

Hartanah Shah Alam - Putri Ayu Condominiums




Review hartanah pada hari ini akan mengkaji prospek pelaburan hartanah berbentuk kondominium yang terletak berhampiran Plaza Tol Batu.3 shah Alam yakni Kondominium Putri Ayu.

Daripada penyelidikan yang dibuat di Internet, harga belian daripada pemilik ataupun sub sell adalah sekitar RM190,000, dan hartanah tersebut merupakan hartanah berstatus hak milik kekal.

Keluasan rumah tersebut adalah 1021 kaki persegi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Agak besar dan selesa untuk mereka yang berkeluarga.

Daripada gambar yang disertakan fasiliti kolam renang agak menarik. Tetapi di dalam pelaburan hartanah bukan kolam renang atau rupa paras design bangunan tersebut yang dipentingkan.

Apa yang dipentingkan paling utama adalah prospek sewaan. Berapakah RM yang mampu dijana daripada sewaan unit kondominium tersebut. Adakah bayaran sewaan bulanan dapat menampung kos pembayaran bayaran balik bulanan kepada pihak bank?

Sekiranya kita imbas lokasi hartanah tersebut ianya terletak di tengah-tengah kawasan kilang berhampiran kilang arak Carlsberg dan Hitech Industrial park. Mungkin sekiranya bernasib baik kita akan dapat menyewakan kondominium tersebut kepada pekerja-pekerja kilang tetapi masih lagi terpulang kepada nasib.

Satu lagi faktor yang agak menarik berkenaan kondominium ini adalah ianya juga terletak berhampiran beberapa kawasan perumahan dan ini akan mendatangkan persaingan untuk mendapatkan penyewa.

Kesimpulannya sekiranya hendak disewakan perlu usaha marketing yang kuat bagi memastikan kita mendapatkan pulangan yang maksimum dan tidak dibebankan dengan komitmen bayaran balik bulanan kepada pihak Bank.





Tuesday, January 27, 2009

Lagu Rakyat Terengganu Dari Kampong Paloh

Semoga memori zaman kanak-kanak kita terus mekar dan segar di fikiran kita.

Hayun Buai Kok Kek


Kok Kek Hulu Golok

Hok dio Lokek

Hok Orang dio Nok

Sekiranya saudara-saudari mempunyai lagu-lagu rakyat yang hendak dikongsi bersama sila emelkan atau menghantar lagu rakyat tersebut di dalam bentuk komen.

Dekorasi - Padanan Warna Pada Dinding Kediaman

Saya ada terbaca mengenai satu artikel di dalam majalah impiana berkenaan pemilihan padanan warna dinding pada sesuatu ruang kediaman. Izinkan saya berkongsi sedikit input berkenaan petikan artikel tersebut:

"Warna putih dan kelabu melambangkan teguh, ringkas dan berterus terang"

"Warna hijau dan unggu melambangkan cergas, riang, bijak dan yakin"

"Warna merah dan ungu melambangkan pesona, misteri, menggoda, aggresif dan ceria"

"Warna perang jingga dan hijau merak melambangkan klasik, sofistikated, gemarkan kelainan, berani dan punya cita rasa menarik"


Monday, January 26, 2009

Gong Xi Fa Chai

Kami di 2buy2sell2rent ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pengunjung laman blog ini yang berbangsa tiong hua.

Semoga dengan adanya sokongan berterusan saudara-saudari sekalian akan menjadikan laman blog ini lebih ceria, lebih bertenaga dan lebih mantap.

Gong Xi Fa Chai

Xin Nian Quai Le


Friday, January 23, 2009

Konsep Baru - Blog 2buy2sell2rent

Salam sejahtera,

3 minggu telah berlalu dan sambutan pengunjung ke laman blog ini semakin menggalakan.

Bagi meneruskan keceriaan laman blog ini, kami di 2buy2sell2rent bercadang untuk memperkenalkan konsep baru di laman blog ini dengan menstrukturkan penerbitan artikel blog ini mengikut hari-hari yang tertentu.

Sehubungan dengan itu kami di 2buy2sell2rent ingin mendapatkan maklumbalas saudara-saudari sekalian berkenaan cadangan kandungan yang akan diperkenalkan pada minggu hadapan seperti di bawah.

Semoga dengan adanya input berterusan daripada pihak saudara-saudari sekalian akan dapat menceriakan kandungan laman blog ini dan seterusnya merealisasikan konsep "idea bersama inspirasi keceriaan"

Hari

Topik

Isnin

Sukan & Rekreasi

Selasa

Kreatif & Unik

Rabu

Politik & Semasa

Khamis

Cinta & Keluarga

Jumaat

Rohani & Kesihatan

Sabtu

Santai & Relaks

Ahad

Pelaburan & Kewangan


Thursday, January 22, 2009

Presiden Amerika yang ke-44

Sekali lagi dunia telah mengalu-alukan kehadiran Presiden Amerika yang baru.

Presiden Amerika yang ke-44 ini tampil dengan imej yang berlainan daripada Presiden yang sebelum ini yang gemar berperang.

Beliau bukan sahaja lebih diplomatik di dalam menetapkan dasar luar Amerika malahan seolah-olah akur dengan gesaan dunia agar Amerika tidak mengamalkan dasar konfronstasi seperti mana yang telah diamalkan oleh Presiden Amerika yang sebelum ini.

Di dalam ucapan sulung beliau sebagai semasa beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika yang ke-44 (untuk makluman upacara angkat sumpah terpaksa dibuat dua kali) beliau sedar tentang kemerosotan imej Amerika di mata dunia, beliau akur bahawa Amerika sedang berada di dalam krisis ekonomi, dan beliau juga sedar bahawa Amerika perlu bangun semula untuk memimpin dunia.

Persoalanya, adakah kita masih memerlukan Amerika untuk memimpin dunia? Adakah kita akan pulih daripada kemelut ekonomi sekarang dengan kepimpinan baru ini? adakah kita akan duduk diam dan membiarkan kerancakan ekonomi kita ditentukan oleh Amerika?

Saya tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi sebagai seorang penduduk di dunia ini, saya rasa kita semua inginkan keamanan yang berkekalan, keadilan sejagat, kemakuran yang boleh dikongsi bersama dan satu dunia yang bersatu dan bertolerensi.



Wednesday, January 21, 2009

Hari Kreatif Bil.2/2009 - Honda, BMW dan Toyota

Salam keceriaan dan salam kreatif,

Marilah sama-sama kita berkongsi cerita dan mengambil teladan daripada artikel yang disumbangkan oleh saudara mika (www.akalbudi-mika.blogspot.com), mudah-mudahan kita boleh mendapat manfaat daripada pengalaman beliau..

Sambungan Cerita Hukum Diri Kerana Silap

Saya pernah bercita-cita untuk memiliki sebuah kereta berjenama. Berkat azam dan usaha berjimat cermat saya dapat memiliki sebuah Honda Civic keluaran tahun 1995. Pada masa itu ialah tahun 2000 dan kereta tu saya beli 'second-hand' - usianya lima tahun lebih.

Oleh kerana tidak ada perancangan rapi, saya menghadapi situasi terdesak yang memaksa saya menjual kereta Honda Civic yang saya sayang. Lalu saya mengambil langkah drastik mendapatkan sebuah motosikal untuk kemudahan pengangkutan - sakit dan pedih rasa kerana dah turun status. Apa nak buat?

Sementara itu saya ada seorang kawan yang memiliki kereta BMW 520. Semasa keluar dengan kereta BMWnya, kawan saya kerap menyuruh saya memandu BMW tersebut. Lama kelamaan saya tertarik dengan BMW. Lalu saya memasang keinginan untuk memiliki sebuah BMW, tak kisah model apa pun.

Berkat kesungguhan pada tahun 2002 saya berjaya memiliki sebuah BMW 318i keluaran tahun 1990. Memang best.

Oleh sebab BMW saya beli dah 'second-hand' dan pada mula terpaksa baiki banyak benda, jadi tiga bulan pertama saya dah belanja lebih 3000 untuk bikin.

Lepas itu satu benda ke satu benda saya kena baiki. Apa nak buat nasib tak baik. Masa beli tergesa-gesa, tak betul-betul check condition-nya.

Sekali lagi saya mengalami keadaan ekonomi amat terdesak lalu saya membuat keputusan menjual BMW yang saya masih sayang. Saya cuma sempat pakai lebih kurang 9 bulan sahaja. Dan selepas jual kepada seorang peminat BMW, saya kira-kira dalam tempoh tersebut saya dah hilang wang hampir 10 ribu.

Pada masa itu baru saya benar-benar sedar saya dah buat kesilapan besar dalam berbelanja. Daripada situ saya mula bertekad untuk menebus semula kesilapan saya.

Tekad saya ialah tidak mahu lagi membeli kereta daripada syarikat 'used car' dan diurus melalui pinjaman bank. Dan tekad saya lagi ialah mahu memiliki sebuah kereta dibeli secara tunai dengan harga yang lebih murah. Tak kisah kalau kurang selesa sikit pun.

Jadi saya telah hukum kesilapan saya dengan bertekad untuk pakai hanya kereta lama sahaja bagi menebus semula kesilapan besar yang telah saya lakukan. Dan pada masa yang sama saya mahu bina balik ekonomi saya untuk masa depan yang lebih baik.

Berkat tekad saya yang bersungguh-sungguh, maka pada tahun 2003 saya telah membeli sebuah kereta Daihatsu Charade Aura keluaran tahun 1990 daripada pemilik sendiri. Kereta Charade tersebut berharga 11 ribu ringgit.

Walau jauh tidak seselesa dan se-gah Honda Civic dan BMW, tapi saya sabar dan terus bertahan dengan Charade. Dengan kesabaran itu saya dapat menggunakan kereta Charade tanpa perlu bayar hutang bulanan selama lebih tiga tahun.

Berkat hukuman diri sendiri saya telah dapat mengumpul duit yang terselamat daripada hutang bulanan kereta.

Dan dengan duit simpanan tersebut saya mengidam-idamkan pula untuk memilik sebuat Toyota Camry. Moga sama-sama doakan agar impian saya akan menjadi kenyataan.

Jadi pendekatan menghukum diri sendiri atas kesilapan lalu dalam berbelanja menyebabkan saya lebih berhati-hati dan juga dapat menguatkan tekad untuk tidak mengulanginya.

Moga cerita saya ini dapat memberi manfaat kepada saudara/saudari pembaca sekalian.

Tuesday, January 20, 2009

RM2000 Bagi Tanah 1 Kaki Persegi

Pernah tak kita bertanyakan kepada diri kita, agak-agaknya berapakah nilai size tapak kaki kita?

Untuk makluman semua nilai sesebuah hartanah turut bergantung juga kepada nilai harga saiz 1 tapak kaki persegi hartanah tersebut.

Baru-baru ini saya telah berpeluang untuk betanyakan harga sebuah projek kondominium di selayang dan harga bagi kondominium tersebut adalah RM240,000 dengan diskaun ( harga termasuk harga tanah, bahan binaan dan lain-lain kos yang berkaitan). Sekiranya kita membuat pengiraan mudah/kasar harga 1 kaki persegi bagi kondominium tersebut adalah RM240.

Bagi hartanah di Cyberjaya pula, harga rumah di Cyberjaya yang bersaiz 750 kaki persegi adalah RM210,000 dan pengiraan mudah/kasar bagi nilai tanh bersaiz 1 kaki persegi adalah RM280.

Melalui perbandingan mudah diantara dua kawasan yang berbeza ini dapat disimpulkan harga tanah di Cyberjaya adalah jauh lebih tinggi berbanding kawasan di Selayang, Selangor.

Cuba kita lihat perbandingan bagi harga hartanah di KLCC pula, melalui perbualan tidak formal saya dengan salesman tersebut, saya turut dimaklumkan bahawa harga tanah bagi satu kaki persegi di Kawasan Segi Tiga Emas KLCC boleh mencecah sehingga RM2000.00.

Bayangkan sekiranya harga tanah 1 kaki persegi beharga RM2000.00 berapakan jumlah harga sebuah kondominium yang berkeluasan 1000 kaki persegi di KLCC.???

Kesimpulanya, bolehkah anda bayangkan tanah sebesar tapak kaki anda bernilai RM2000.00???


* Fakta daripada artikel di atas diperolehi daripada sumber-sumber lisan dan boleh dipertikaikan kesahihanya.


Politik.....Politik...dan Politik

Izinkan saya untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang telah memberi komen-komen bernas terhadap artikel saya sebelum ini.

Sesungguhnya komen-komen yang disumbangkan, kata orang putih memang Mind Blowing.

Saya sememangya agak terkejut apabila mendapati artikel yang saya terbitkan berkenaan Pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu mendapat banyak komen dan kunjungan daripada tetamu daripada Amerika, Argentina, Australia dan tidak lupa Johor Bahru.

Mungkin ini yang dimaksudkan oleh saudara mahmud kita yang memberi komen diantaranya menyebut "
rakyat malaysia yang semakin bijak dalam bidang ekonomi, modal insan, celik it dan politik secara amnya..."

Musim pilihanraya kecil telah berakhir mari kita teruskan berbicara berkenaan hartanah..hartanah dan hartanah....

Nantikan kemunculan artikel
RM2000.00 bagi tanah 1 kaki persegi....


Monday, January 19, 2009

Pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu






Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf di atas ketiadaan sebarang artikel baru semenjak 2 hari yang lalu.

Ini adalah kerana saya terpaksa menunaikan tanggunjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi di Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu (P036).

Tujuan artikel pada hari ini bukan bermotifkan politik tetapi sekadar memaklumkan bahawa kegiataan ekonomi semasa sesuatu pilihanraya kecil diadakan adalah amat rancak.

Saya difahamkan pilihanraya kecil pada kali ini, kadar sewa rumah kampung telah naik mendadak, dan kesemua hotel-hotel di terengganu telah fully booked di sepanjang tempoh berkempen.

Dari segi perspektif hartanah kadar sewa
normal untuk rumah kampung di terengganu adalah sekitar RM300 tetapi pada pilihanraya kali ini kadar rumah sewa kampung boleh meningkat sehingga 4 angka.

Selain daripada itu, bagi pengemar makan tradisi Terengganu iaitu Keropok Lekor. Jumlah tempahan telah meningkat sehinggakan kedai-kedai yang menjual keropok lekor tidak dapat menerima tempahan sehingga 18 Januari 2008.

Bayangkan betapa rancaknya ekonomi Terengganu disebabkan pilihanraya kecil ini, adalah diharapkan limpahan ekonomi yang tercetus akibat pilihanraya ini dapat berkekalan dan seterusnya meningkatkan prospek hartanah di Negeri Terengganu.






Thursday, January 15, 2009

Skim Cepat Miskin

Siapa yang tidak kenal dengan skim cepat kaya, skim ali baba, main kutu, Gores dan Menang, Multi Level Marketing (MLM) dan sebagainya.

Saya menyimpulkan kesemua skim seperti di atas sebagai skim cepat miskin.

Kata pepatah inggeris money easy come easy go ada kebenaranya.


Ini adalah kerana asas tercetusnya idea di sebalik skim cepat kaya adalah untuk menjadikan orang paling atas kaya (upline).

Mungkin kebanyakan kita tidak sedar bahawa kita golongan (downline) hanya diperalatkan untuk memastikan upline kita kaya raya. Kita sering ditaburkan dengan kata-kata manis, janji-janji manis yang mana akan membuatkan semangat seseorang itu berkobar-kobar untuk melabur dalam skim tersebut.

Siapa yang akan membela nasib golong donwline ini sekiranya wang yang ditaburkan untuk memperkayakan upline lesap?

Saya teringat akan kata-kata ini A good saleman can sell an ice-cream to an eskimo. Adakah kita akan tertipu oleh kata-kata manis saleman terlatih ini?

Daripada kita melaburkan duit kita kepada sesuatu benda yang tidak nampak (abstrak) apa salahnya sekiranya kita melaburkan duit tersebut dalam hartanah.

Sekurang-kurangya ada juga tempat berteduh sekiranya hari hujan. Dan yang paling menarik sekali mengenai hartanah adalah nilai hartanah saban tahun akan naik.

Saya tidak mempunyai pengalaman terus dengan skim cepat kaya kerana saya menolak apa jua anasir-anasir yang menyerupai skim cepat kaya.

Ingin saya menarik perhatian saudara-saudari sekalian terhadap perkara seperti di bawah:

Mengapakah kita sanggup bermati-matian mempromosikan produk orang lain (MLM) semata-mata nak memastikan yang kita dapat komisyen.
Apa salahnya sekiranya kita mempromosikan produk kita sendiri. Sekiranya kita boleh mempromosikan produk orang lain saya rasa tidak ada masalah untuk kita mempromosikan apa-apa produk yang dihasilkan dengan hasil titik peluh kita sendiri.

Kesimpulanya sekiranya kita mempunyai sedikit wang, pelajarilah ilmu menyimpan di dalam dana-dana yang menjanjikan keselamatan dan dilindungi kerajaan seperti dana-dana amanah (ASB). Saya cadangkan jumpa pakar kewangan yang terlatih dan bukan saleman skim cepat kaya.

Saudara dan saudari sekalian, melalui pengamatan saya saya mendapati ilmu sebenar yang diperlukan untuk menjadi kaya raya sebenarnya bukanya ilmu skim cepat kaya tetapi ilmu kesabaran, kesabaran dan kesabaran.

Wednesday, January 14, 2009

Peka dan Responsif

Salam Kreatif,

Seminggu sudah berlalu dan kami di 2buy2sell2rent amat menghargai input dan komen padat daripada pihak saudara dan saudari.

Komitmen kami di 2buy2sell2rent adalah untuk memastikan laman blog ini sentiasa peka dan responsif terhadap komen-komen dari pihak saudara dan saudari.

Sekian.

p.s: nantikan kemunculan khas artikel skim cepat kaya dan multi level marketing...

Tulisan Kreatif - Tips untuk jimat belanja

Seperti yang dijanjikan hari Rabu merupakan hari penulisan kreatif. Berikut merupakan salah satu artikel yang telah dipetik dari blog saudara mika di http://www.akalbudi-mika.blogspot.com/.

"Kata pepatah besar periuk besar keraknya. Tak kira kerja apa pun, berapa besar pun gaji kita, duit memang sentiasa tak cukup KECUALI bagi orang yang pandai mengurus ekonomi diri.

Ramai antara kita yang selalu membayangkan situasi masa depan yang lebih baik - bila gaji bertambah dapat mengurangkan beban hidup, tapi bila naik gaji baru sama juga tak cukup-cukup pun.

Yang buat cukup tak cukup bukan jumlah gaji kita tapi bagaimana kita berbelanja.
Di sini saya nak berikan tips untuk jimat belanja dan cukup untuk hidup selesa setiap bulan.

1. Jangan bawa duit di dalam dompet (wallet) terlalu banyak kecuali bila perlu sahaja.

Biasanya kita berhadapan dengan situasi yang menarik kita untuk berbelanja seperti membeli sesuatu barang sedangkan ia sebenarnya tidak perlu bagi kita. Tarikan mungkin disebabkan oleh harga murah, sukar didapati pada masa dan tempat lain - pada hal kita tidak perlu.

Dalam situasi ini tiada siapa yang dapat menghalang kita daripada membeli barang tersebut. Tetapi jika duit di dalam dompet kita tidak banyak, kita akan berfikir dua-tiga kali. Mungkin untuk keluarkan duit di mesin ATM kena beratur.

Jadi dengan duit yang sikit di dalam dompet dapat mencegah kita daripada terperangkap dengan keinginan kita.

Oleh itu sentiasalah berbelanja ikut keperluan, bukan ikut KEINGINAN atau KEMAHUAN.

Dapatkan tips berikutnya dengan sentiasa melawati blog ini."

Kami di 2buy2sell2rent mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian pihak saudara mika kerana membenarkan penulisan ini diterbitkan di blog ini.

Tuesday, January 13, 2009

Lease Vs Free Hold di Damansara Perdana

Baru-baru ini saya telah berkesempatan untuk meninjau projek pembangunan di damansara perdana. I was quite impressed with the very rapid progress of the site. Pemaju projek ini merupakan sebuah syarikat pembinaan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Semasa pemantauan saya di kawasan tersebut saya mendapati terdapat satu projek service apartment yang sedang dibangunkan. Harga permulaan adalah sekitar RM200K. Saya tidak pasti status hartanah tersebut sama ada lease or free hold.

Memang tidak dinafikan dengan adanya pusat komersial seperti IKEA, ONE UTAMA dan macam-macam lagi. Seseorang mungkin akan mudah tertarik dengan prospek pelaburan di kawasan tersebut.

Tetapi perlu di ingatkan bahawa di kawasan Damansara Perdana terdapat satu lagi projek perumahan berkos sederhana yang masih mempunyai jumlah rumah sewa kosong yang banyak. Sekali imbas ianya memberikan gambaran bahawa permintaan yang ada di kawasan tersebut melebihi daripada penawaran (supply bigger than demand).

Satu lagi faktor yang perlu yang difikirkan adalah sebelum kita membeli sebuah hartanah status lease atau free hold turut memainkan faktor yg penting.

Sekiranya kita hendakkan pulangan yang setimpal dengan pelaburan kita why don't kita labur di atas satu property yang berstatus free hold dan boleh memberikan pulangan yang setimpal daripada membeli hartanah yang berstatus lease hold dan turut membawa pulangan pelaburan yang sama.

Kesimpulanya status hartanah berstatus free hold semakin berkurangan, dan sekiranya nak pelaburan yang berisiko rendah go for a strategic free hold property.

P/S: Esok adalah hari kreatif...jgn lupa untuk membaca artikel-artikel kreatif yang disumbangkan oleh sahabat-sahabat kita....

Monday, January 12, 2009

2 Hari Lagi Menjelang Hari Kreatif

Salam Persahabatan....

Saya telah menerima beberapa komen yang mana mencadangkan agar mempelbagaikan kandungan blog ini. Saya menerima baik seruan ini dan menjemput saudara dan saudari sekalian yang budiman untuk turut serta di dalam menyumbangkan idea dan hasil karya penulisan kreatif saudara dan saudari sekalian.

Sehubungan dengan itu, saya bercadang untuk memilih hari Rabu sebagai hari KREATIF di mana kesemua terbitan blog ini yang diterbitkan pada hari Rabu akan menjurus kepada hasil penulisan kreatif (sajak, puisi, lagu, kisah cinta, lawak dan lain-lain).

Sekiranya saudara dan saudari sekalian mempunyai sebarang penulisan yang ingin dikongsikan bersama sila emelkan hasil penulisan saudara dan saudari sekalian ke ogos31@yahoo.com atau hantar melalui mana-mana ruangan komen yang disediakan.

Bagi tujuan pengiktirafan sila sertakan nama samaran atau nama saudara dan saudari di dalam penulisan yang akan dikemukakan.

Marilah sama-sama kita raikan kepelbagaian idea melalui penulisan kreatif....


Sunday, January 11, 2009

Segalanya Bermula Dengan RM

Saya sering ditanya bagaimanakah hendak memulakan pelaburan hartanah yang pertama.

Sebelum saya menjawab soalan tersebut saya ingin berkongsi satu nasihat yang telah diturunkan oleh datuk saya. "Guna duit untuk buat duit"

Sebelum memulakan sesuatu pelaburan hartanah seseorang tersebut sekurang-kurangya memerlukan sedikit wang simpanan paling kurang 10% daripada nilai hartanah tersebut. (sekiranya hartanah bernilai RM100k, kadar simpanan adalah 10 ribu).

Mungkin setelah mendengar jumlah wang tersebut semangat kita yang sebelum ini berkobar-kobar untuk terus terlibat di dalam pelaburan hartanah telah mula lentur, tetapi percayalah tanpa disiplin kewangan yang tegas tidak mungkin kita boleh bertahan di dalam bidang pelaburan hartanah. Cabar diri anda untuk menyimpan dan nikmati faedah penat lelah anda menyimpan apabila menerima kunci rumah baru anda.

Saya akan menyambung artikel ini esok dan menerangkan bagaimana kita boleh membeli rumah dengan mengeluarkan deposit yang minima.


Saturday, January 10, 2009

Top of Google

Salam sejahtera,

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca laman blog ini yang tidak putus-putus memberi idea dan komen-komen padat lagi bernas.

Dengan adanya sokongan berterusan saudara saudari sekalian tanpa diduga laman blog ini telah berjaya berada di ranking teratas google dengan kata carian "2buy2sell2rent".

Apa yang membanggakan adalah kini laman blog 2buy2sell2rent.blogspot.com telah berjaya mengatasi pesaing 2buy2sell2rent.com

Kejayaan ini merupakan kejayaan kita semua.

Thank you very much.

Lapangan Terbang Antarabangsa Labu

Salam sejahtera,

Semalam terbaca keratan akhbar berkenaan tapak cadangan pembinaan lapangan terbang baru di Labu Negeri Sembilan.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui lokasi daerah Labu itu sendiri, sekiranya hendak ke Labu saya cadangkan saudara-saudari sekalian menaiki KTM komuter dan berhenti di stesen KTM komuter Labu.

Apa yang saya inginkan berkongsi di sini adalah berkenaan prospek pembangunan hartanah di sekitar kawasan Labu dengan adanya projek MEGA seperti lapangan terbang baru. Menurut keratan akhbar tersebut lokasi lapangan terbang baru terletak 18 km daripada KLIA.

Mungkin ramai daripada kita telah mencongak untuk membeli hartanah di Labu kononya harga tanah akan naik tidak lama lagi. Nasihat saya jangan terlalu percaya kepada spekulasi dan jangan buat keputusan tergopoh gapah terutamanya dalam suasana ekonomi yang agak suram dewasa ini. Strategi yang paling berkesan adalah tunggu dan lihat.

Tidak dapat dinafikan kawasan pembangunan di sekitar koridor lapangan terbang memang akan boom! Tetapi proses booming kawasan di sekitar lapangan terbang baru akan memakan masa yang agak lama kerana pembangunan dan kemajuan di kawasan tersebut bergantung kepada aspek pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, pusat kommersial dan industri-industri sokongan lain.

Ingin saya menarik perhatian pembaca semua terhadap situasi pembangunan di Salak Tinggi. Walaupun KLIA telah dibina lebih 10 tahun tetapi proses kemajuan di sekitar kawasan Salak Tinggi masih agak perlahan. Renung-renungkanlah....







Friday, January 9, 2009

Beli Kereta Atau Beli Rumah

Ingat lagi semasa kecil apabila ibu bertanyakan saya nak buku atau permainan? Sememangnya jawapan yang berlega di minda saya adalah permainan.

Sekiranya ditanya saya sekarang, nakkan kereta atau rumah? saya akan menjawab rumah.

Perbezaan diantara kanak-kanak dan dewasa adalah keupayaan untuk membezakan realiti daripada fantasi. Dalam kes ini rumah merupakan realiti dan kereta adalah fantasi.

Hari ini saya baru menghantar kereta Proton Gen2 Highline Tahun 2005 untuk diservis, dan caj bayaran yang dikenakan adalah disekitar RM300 untuk servis 95000 KM. Sekiranya kita translate jumlah bayaran terebut kepada komitmen bayaran bulanan ia akan menjadi sekitar RM1000 ++ (bayaran ansuran bulanan kereta + caj servis).

Sekiranya kita membeli rumah kita cuma perlu membayar ansuran bulanan (sama seperti kereta) dan sekiranya nasib menyebelahi kita ansuran bulanan boleh di cover oleh bayaran rumah sewa.

Jangka hayat sesebuah rumah boleh mencecah seratus tahun tetapi bagi kereta kira nasib baik sekiranya boleh bertahan 10 tahun problem free.

Nilai kereta akan susut saban tahun tetapi nilai rumah akan sentiasa naik (kecuali di Singapura dimana nilai tanah akan susut kerana setiap projek perumahan apartmen yang dibangunkan akan diruntuhkan bagi memberi lalauan kepada projek baru yang boleh memuatkan lebih ramai penghuni).

Kesimpulanya: Pelaburan hartanah dan kereta merupakan 2 pelaburan yang berbeza. Sekiranya kita memerlukan kereta pilih kereta yang sesuai dengan kemampuan kita. Bak kata orang tua "sekiranya nak balik terengganu bawak proton pun sampai tak semestinya bawak ferari")

Plzz komen...



Thursday, January 8, 2009

Genting Highlands

Salam sejahtera,

Hari ini sekumpulan rakan-rakan saya akan mengadakan mesyuarat di Hotel Awana Genting Highland. Ini membuatkan saya tertanya-tanya apakah resipi di sebalik kejayaan Genting Highland.

Boleh anda bayangkan 4 dekad dahulu, bagai manakah rupa dan muka bumi genting highland pada masa itu? Siapa
yang mempunyai keberanian untuk membangunkan hartanah di Genting Highland oleh kerana tempat tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan hutan dan haiwan-haiwan liar malah kemudahan-kemudahan asas pun tiada.

4 dekad dahulu, adakah agensi-agensi kerajaan mahupun swasta akan mengadakan mesyuarat di tempat tersebut? Adakah kita akan mendengar suara tawa kanak-kanak yang sedang seronok bermain (Ngauman harimau mungkin ya mungkin tidak)?


Umum sedia maklum berkenaan populariti Genting Highland sebagai pusat hiburan yang tersohor di rantau ini. Namun segala kejayaan yang dicapai oleh pengasas Genting Highland bukanlah sesuatu yang mudah. Segala aktiviti-aktiviti yang dilakukan di dalam memastikan nilai hartanah tersebut sentiasa menarik memerlukan perancangan yang teratur dan teliti.

Selain daripada itu salah satu aspek yang penting di dalam pelaburan hartanah adalah kesabaran.

Kesimpulannya dalam pelaburan hartanah sesorang itu perlukan keberanian seperti mana yang ditonjolkan oleh pengasas Syarikat Genting Berhad.

"Kejayaan Pelaburan Hartanah = kesabaran + Perancangan + Keberanian ..... +... sila komen. "

Wednesday, January 7, 2009

Review Hartanah di Putrajaya (siri 1)

Salam Sejahtera,

Mungkin ramai sudah sedia maklum nilai hartanah di Putrajaya adalah diantara yang paling tinggi di Malaysia. Namun begitu, persoalan yang sering bermain di fikiran setiap pelabur adalah adakah harga yang ditawarkan mampu ditandingi dengan nilai jualan balik hartanah tersebut?

Untuk makluman projek-projek baru bagi tahun 2009 akan dibuka untuk jualan di dalam bulan Februari 2009 dan harga pembukaan bagi projek rumah terrace di Presint 18 adalah sebanyak RM500 ribu.

Bagi mereka yang baru hendak menceburi pelaburan hartanah saya merasakan ini merupakan satu pelaburan yang berisiko tinggi.

Perskitaran Putrajaya sememangnya sesuai untuk dijadikan tempat tinggal dan berkeluarga namun bagi tujuan pelaburan, risiko adalah amat tinggi.

Sekiranya kita bercadang untuk menyewakan hartanah di Putrajaya tersebut, nilai pulangan daripada sewa bulanan mungkin tidak akan dapat menampung jumlah bayaran ansuran hartanah tersebut. Ini adalah kerana bagi rumah townhouse yang dibeli dengan harga RM250 ribu di Presint 16 kadar sewa bulanan adalah pada harga RM1 ribu sedangkan bayaran ansuran kepada bank melebih RM1 ribu.

Kita tidak dapat menafikan pelaburan hartanah di Putrajaya merupakan rancangan jangka masa panjang. Namun adalah kita sanggup untuk menunggu? adakah kita mempunyai keupayaan dari segi kewangan untuk membuat bayaran ansuran berterusan? bila agaknya hartanah kita dapat dijual?

Faktor-faktor di atas merupakan sedikit sebanyak berkenaan prospek pelaburan hartanah di putrajaya. Siri 2 artikel ini akan memfokuskan pelaburan hartanah yang berjaya di Putrajaya.



Tuesday, January 6, 2009

Selamat Datang dan Review Hartanah di Putrajaya

Salam Sejahtera,

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pengunjung blog ini yang datang daripada Terengganu, Johor, Selangor dan Sarawak.

Terima kasih di atas sokongan berterusan anda.

Untuk makluman saya akan menerbitkan satu artikel berkenaan prospek pelaburan hartanah di kawasan putrajaya. Penerbitan artikel ini adalah secara bersiri. Nantikan penerbitan artikel Putrajaya - Siri 1 esok (7 Januari 2008).

TQ

Q & A - 6 Januari 2009

Salam Sejahtera,

Saya ingin mengambil peluang ini untuk menjawab soalan-soakan yang telah diajukan kepada saya semalam.

Soalan daripada cik mitlisa:

- Saya merasakan hartanah di Kuching sarawak telah meningkat dengan mendadak sejak 2 dan 3 tahun kebelakangan ini.

- Faktor mungkin disebabkan spekulasi hartanah, bahan pembinaan yang meningkat atau mungkin disebabkan kekurangan supply berbanding demand.

- Adakah berbaloi untuk memberli hartanah di Kuching berbanding KL??? cuba pertimbangkan faktor-faktor berikut:

- Di KL ada keretapi laju, Universiti-universiti unggul, hospital dan sekolah cemerlang, jalinan lebuhraya yang moden, jaringan bisness- bisness dan sebagainya. Adalah kuching mempunyai kesemua kemudahan yang dinyatakan di atas?

-Kesimpulanya saya merasakan membeli hartanah di KL akan mendatangkan pulangan yang lebih baik berbanding hartanah di Kuching.

"Think Investment Think Porperty"


Monday, January 5, 2009

Rumah Apartment Vs Rumah Terrace (Part 1)

KELEBIHAN

Rumah Apartment

-mudah untuk disewakan
-pulangan ROI yang menarik
-mudah untuk diselenggara

Rumah Terrace

- nilai hartanah yang tinggi (jualan balik)
- keselesaan untuk berkeluarga
- sesuai untuk mereka yang suka bercucuk tanam (hehehehe)

KEKURANGAN

Rumah Apartment

- kos penyelenggaraan bulanan
- strata title lambat
- penyewa come n go sesuka hati

Rumah Terrace

- mahal (area Lembah Klang RM250k/unit)
- masalah makhluk perosak
- sasaran pecah rumah


Sila komen....

Kadar Faedah Terendah

Melalui pemantauan saya sehingga 1 Januari 2009 saya mendapati Bank CIMB menawarkan kadar faedah terendah. Sila semak kadar faedah bank CIMB di talian 1 300 880 900

* Peringatan: Menjadi tanggungjawab pengunjung laman blog ini untuk menyemak kesahihan maklumat di dalam laman blog ini dengan badan-badan yang berkenaan.

Selamat Tahun Baru 2009

Hi,

Mungkin belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan salam tahun baru 2009 bagi semua pengunjung laman blog ini.

Adalah diharapkan info yang diberikan di dalam blog ini dapat membantu saudara-saudari sekalian di dalam aspek aktiviti harian berkenaan hartanah (daripada membeli, menjual, menyewa, hiasan dalaman dan apa-apa yang berkenaan hartanah)

Jom share-share pengalaman!!!